Nasional

PM salur RM1.4 bilion peruntukan tambahan untuk sekolah daif

Sebanyak RM1.4 bilion peruntukan tambahan disalurkan bagi menambah baik bangunan sekolah daif di seluruh negara tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, peruntukan berkenaan termasuk RM185.37 juta untuk penambahbaikan bangunan sekolah di Kelantan manakala Terengganu dan Pahang masing-masing RM78.93 juta dan RM64.15 juta.

Pada ucapan dan soal jawab bersama guru pada Program Cakna Madani Perdana Menteri Bersama Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian pada Ahad, Anwar menegaskan peruntukan itu merupakan satu keperluan dan bukannya disalurkan kerana Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Sebanyak 50,000 unit komputer riba juga diluluskan awal tahun lalu dan dijangka diagihkan pada Oktober depan.

“Bagaimanapun, perolehan tender biasanya dalam tempoh enam bulan. Tak boleh tak tender, nanti ada ‘sakau’,” katanya.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalannya, Lim Hui Ying.

Anwar turut memberitahu, akan ada kelonggaran mengikut proses tender terhad dan disegerakan supaya dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan jika kes mendesak.

Selain daripada peruntukan tambahan itu, Sebanyak RM4.4 juta diperuntukkan di Kelantan, RM2.2 juta di Terengganu dan RM2.9 juta di Pahang bagi program digitalisasi di sekolah.

Related Articles

Back to top button