Semasa

KKM lulus peruntukan tambahan naik taraf fasiliti kesihatan di Langkawi

Sejumlah RM200,000 diluluskan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai peruntukan tambahan bagi kerja naik taraf fasiliti kesihatan di Pulau Langkawi.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, peruntukan itu termasuk bagi mendapatkan mesin bilirubinometer untuk pemeriksaan paras bilirubin bayi menghidap jaundis (penyakit kuning) bernilai RM50,000 yang akan ditempatkan di Pulau Tuba.

Melalui langkah tersebut jelasnya, akan dapat mengurangkan beban penduduk yang sebelum ini terpaksa antaranya ke pekan Kuah.

“Dari sudut penjimatan kos, mereka ini kalau sakit jaundis terpaksa ke pulau besar dengan ada pemeriksaan susulan setiap beberapa hari sekali, kita kena tengok paras bilirubin.

“Jadi mereka minta kalau misalnya dapat mesin untuk ukur tahap bilirubin tu di Pulau Tuba sendiri sebab itu akan menjimatkan masa, yang keduanya mengurangkan kos perjalanan,” katanya.

Dr Zaliha berkata begitu kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi pada Isnin.

Selain itu Dr Zaliha turut menjelaskan, peruntukan diluluskan itu akan digunakan bagi menaik taraf sistem pintu magnetik dewan bersalin dan dewan bedah selain mendapatkan peti sejuk khas bagi menyimpan bahan reagen yang semakin bertambah di Unit Patologi HSM.

Beliau memberitahu, satu unit peralatan system 8 cordless driver stryker juga akan ditambah kepada unit sedia ada yang dijangka dapat mengatasi masalah tunggakan kerja dan waktu menunggu pembedahan dijalankan.

Mengulas lanjut mengenai kerja-kerja naik taraf HSM, Dr Zaliha memaklumkan setakat ini kerja dilaksana sudah mencapai 19 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2025.

Related Articles

Back to top button