Pilihanraya

Majlis Presiden PH adakan mesyuarat persiapan akhir PRN, PRK malam tadi

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dilapor mengadakan perbincangan berhubung persiapan akhir menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu pada 12 Ogos ini.

Perkara itu dinyatakan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail seperti dilapor media lewat malam tadi.

“Mesyuarat baharu selesai dan kita membincangkan persiapan akhir menjelang PRN.

“Semua pimpinan utama PH hadir dalam mesyuarat tadi,” katanya dipetik Berita Harian.

Difahamkan mesyuarat dihadiri pemimpin utama PH termasuk Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat terbabit bermula pada jam 9 malam dan selesai kira-kira dua jam selepas itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 12 Ogos ini sebagai hari mengundi bagi PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Selain itu, PRK Parlimen Kuala Terengganu turut diadakan serentak pada hari berkenaan.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai ini dan hari mengundi awal adalah pada 8 Ogos ini.

Anwar baru-baru ini mengumumkan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang, Azan Ismail sebagai calon Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu bagi mewakili Kerajaan Perpaduan.

Barisan Nasional (BN) dan UMNO Terengganu kemudian dilapor menerima pencalonan Ketua Cabang KEADILAN Kuala Terengganu itu dengan terbuka

Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi berkata, pihaknya akan berusaha memastikan sokongan digerakkan bagi memastikan kemenangan semua calon yang mewakili BN dan PH termasuk Azan.

Related Articles

Back to top button