Nasional

Malaysia perlu lahirkan golongan petani moden profesional

Malaysia perlu melahirkan golongan petani moden profesional berdaya saing untuk mengusahakan fasiliti pertanian moden.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam satu program di Serdang pada Isnin berkata, kerajaan telah menyediakan peluang untuk dimanfaatkan golongan sasar menerusi Projek Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) di bawah program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Justeru beliau yakin dengan inisiatif kerajaan itu, maka golongan tersebut dapat dilahirkan di kalangan peserta berdaftar dalam Sistem Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih) termasuk juga kalangan siswazah.

“Kepada siswazah dan peserta lain, ini adalah tanggungjawab anda untuk mengusahakan fasiliti pertanian moden kerana kerajaan telah ambil risiko keluarkan peruntukan yang besar untuk pastikan pertanian moden berlaku di seluruh negara.

“Saya harap kerja-kerja (pembangunan fasiliti) akan dimulakan dan selepas itu kita akan pastikan IPR akan memberi kesan kepada negara,” katanya.

Beliau sebelumnya berucap merasmikan Pusat Program IPR-INTAN Usahawan Tani di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengulas lanjut mengenai Pusat IPR-INTAN Usahawan Tani UPM itu Rafizi menjelaskan, ia akan menjadi platform kerjasama strategik antara Kementerian Ekonomi dan UPM.

Melalui kerjasama itu, UPM akan memberi latihan teori dan praktikal untuk melahirkan usahawan tani profesional serta mendedahkan mereka kepada kitaran tanaman supaya mampu bertahan dalam bidang pertanian.

Dijangka seramai 130 peserta mampu dilatih dalam tempoh antara dua dan tiga tahun, dengan 40 peratus daripadanya adalah siswazah UPM manakala 60 peratus lagi peserta daripada data eKasih.

Di pihak kementeriannya pula Rafizi berkata, IPR bukan sekadar program bagi meningkatkan pendapatan peserta malah akan mengenal pasti faktor, cabaran serta risiko untuk dielakkan.

“Melalui IPR, kita juga akan lihat modul perniagaan, cabaran cuaca atau gangguan serangga sebab kita tak nak ulangi kegagalan sebelum ini,” katanya.

Untuk rekod, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Febuari lalu berkata, kerajaan akan melaksanakan IPR dengan peruntukan RM750 juta kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan program berkenaan.

Program tersebut menyasarkan peserta meraih pendapatan antara RM2,000 dan RM2,500 sebulan dalam tempoh pemantauan 24 bulan, seterusnya menjana pendapatan sendiri melalui hasil yang diperoleh.

Rafizi pada 11 Julai dilaporkan berkata, sebanyak 1,000 ekar pertama tanah telah dikenal pasti untuk diusahakan peserta IPR.

Related Articles

Back to top button