AnwarSemasa

PM Anwar sentiasa laksana apa yang dikatakannya – Cuepacs

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memuji kenyataan Perdana Menteri yang memberi jaminan menyemak semula skim gaji serta beberapa elaun tetap penjawat awam yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata, jaminan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merupakan bukti bahawa beliau seorang yang sentiasa melaksana apa yang dikatakannya.

Tambahnya, kenyataan yang melegakan itu diumumkan hanya dalam tempoh seminggu selepas pihaknya mengadakan pertemuan dengan Anwar pada 18 Julai lepas, untuk memberikan pandangan dalam soal pelarasan elaun tetap.

“Cuepacs memberi jaminan kesungguhan Perdana Menteri, pasti akan diterjemahkan dengan kualiti perkhidmatan yang terbaik oleh warga perkhidmatan awam.

“Penjawat awam akan menjadi pemudah cara terbaik dalam pemulihan ekonomi negara, selaras dengan usaha Perdana Menteri untuk memulihkan semula ekonomi negara,” kata Adnan dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri pada Ahad berkata beberapa imbuhan tetap kepada penjawat awam akan diumumkan dalam seminggu dua lagi dan beliau akan mempengerusikan mesyuarat pengurusan pertama pelarasan skim gaji penjawat awam, minggu hadapan.

Manakala pada 13 Julai, beliau berkata skim gaji penjawat awam akan dinaikkan secara berperingkat berdasarkan keupayaaan ekonomi negara, dan cadangan itu akan dikemuka dalam mesyuarat dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamad, sebelum Pilihan Raya Negeri pada 12 Ogos ini.

Sementara itu Adnan berkata, jaminan diberikan Anwar yang juga menteri kewangan itu bermakna, janji untuk melaksanakan pelarasan semula skim gaji penjawat awam yang sudah sekian lama dinantikan akhirnya akan menjadi sebuah kenyataan.

Related Articles

Back to top button