Semasa

Jangan cetus ketidakharmonian, tabur fitnah semasa kempen

Semua parti diminta mengamalkan politik sihat dengan mengelakkan dari menyentuh isu yang boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat.

Gesaan itu dinyatakan Majlis Ulama UMNO dalam satu sidang media selepas mengadakan mesyuarat kali kedua pada Selasa yang dipengerusikan Datuk Dusuki Ahmad.

Tegas mereka, semua parti yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi perlu tahu kepentingan menghindari isu yang sensitif terutamanya mengenai agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

“Mendesak agar sebarang bentuk penghinaan kepada institusi diraja diambil tindakan yang tegas menurut lunas undang-undang negara kerana ia akan menggoyahkan keutuhan kesetiaan dan ketaatan kepada sultan dan raja Melayu yang menjadi tonggak ulil amri di negara ini,” kata mereka.

Selain parti politik, Majlis tersebut turut mengeluarkan nasihat kepada umat Islam di negara ini supaya mengamalkan politik sihat dan matang yang bebas daripada unsur fitnah.

“Mengamalkan politik kepartian yang sihat dan berakhlak dengan mengelakkan politik fitnah, mengadu domba, mengejek, merendah-rendahkan, maki hamun serta mencela sesama muslim dan rakyat dengan menjadikan peringatan Allah dalam Surah al-Hujurat Ayat 11 dan 12 sebagai panduan,” tambah mereka.

Sementara itu Majlis Ulama UMNO merakamkan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia Ahad malam.

Mereka turut mendoakan supaya roh Allahyarham ditempatkan bersama para anbiya dan solihin atas sumbangan beliau kepada negara dan agama.

“Mudah-mudahan segala sumbangan tersebut menjadi amal jariah kelak,” kata majlis itu.

Related Articles

Back to top button