Nasional

KPDN akan teruskan legasi Payung Rahmah diperkenal Salahuddin

Inisiatif Payung Rahmah yang diperkenalkan oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub akan terus dilaksanakan.

Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan memastikan inisiatif itu terus dilaksanakan dengan terancang demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Beliau turut berharap melalui pelaksanaannya, ia akan menjadi pahala amal jariah berterusan untuk Allahyarham.

Media sebelum ini melaporkan hasrat rakyat yang mahu agar inisiatif tersebut diteruskan. Malah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) Ameer Ali Mydin menyatakan tekad untuk meneruskan inisiatif Menu Rahmah yang dicetuskan Salahuddin.

Menurut Ameer, walaupun Menu Rahmah adalah satu inisiatif yang mudah, namun ia terbukti telah menyentuh hati rakyat.

Sementara itu, Fuziah melalui kenyataan semalam menyampaikan penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh pelbagai pihak terutamanya pengurusan dan barisan pegawai perubatan HSB. Seterusnya, pegawai KPDN di semua peringkat yang telah menyelaraskan kerja diperlukan bagi melancarkan pengurusan dan pengebumian Allahyarham Salahuddin.

Juga kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang bersetuju menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara khas untuk membawa jenazah Allahyarham dari Alor Setar ke Johor.

“Begitu juga dengan kru dan kakitangan Malaysia Airlines Bhd (MAS) dan Lapangan Terbang Alor Setar serta Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor yang telah menguruskan pemindahan jenazah dari Alor Setar hingga ke Tanjung Piai.

“Sesungguhnya pemergian Allahyarham secara mendadak meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada kita semua terutama rakyat yang telah menikmati manfaat dari legasi Allahyarham menerusi Inisiatif Payung Rahmah.

“Pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada KPDN, rakyat dan negara kerana kepimpinan beliau banyak memberi impak positif kepada usaha-usaha menangani isu kos sara hidup,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button