Semasa

Rafizi terima jemputan ‘Debat Ekonomi Malaysia’

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli telah menyatakan persetujuan untuk menerima jemputan ‘Debat Ekonomi Malaysia’ bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kesediaan itu dimaklumkan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Ekonomi, Mohd Rashidi Ruslan dalam satu surat rasmi bagi menerima jemputan Astro AWANI.

Mohd Rashidi berkata, Rafizi bersetuju dengan tarikh yang dicadangkan atau satu tarikh yang dipersetujui secara bersama.

Sukacita dimaklumkan bahawa YB Rafizi Ramli telah bersetuju untuk menerima jemputan ‘Debat Ekonomi Malaysia’ bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada tarikh yang dicadangkan.

“Menteri Ekonomi juga bersetuju pada satu tarikh yang dipersetujui secara bersama,” katanya.

Rafizi dalam satu ceramah di Negeri Sembilan pada Selasa malam mencabar Azmin Ali untuk berdebat isu ekonomi.

Cabaran berdebat tersebut bagi membuktikan rekod Mohamed Azmin ketika menjadi Menteri Kanan Kluster Ekonomi lebih baik daripada Kerajaan Perpaduan sekarang.

Susulan itu Astro Awani menyatakan minat menerbitkan debat tersebut dan Ketua Pengarangnya, Ashwad Ismail telah mengemukakan surat jemputan debat tersebut kepada kedua-dua pihak.

Walau bagaimanapun setakat kini, belum diketahui sama ada Mohammed Azmin, bekas pemimpin KEADILAN yang mengkhianati parti itu melalui ‘Langkah Sheraton’ sudah menyatakan kesediaan untuk berdebat atau tidak.

Related Articles

Back to top button