Semasa

MOT umum inisiatif baru berkaitan lesen memandu minggu depan

Satu dasar baharu berkaitan lesen memandu dijangka akan diumumkan Kementerian Pengangkitan (MOT) minggu depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata dasar baharu itu akan memberi manfaat dan memudahkan golongan muda, khususnya yang masih belum memiliki lesen memandu untuk mendapatkan lesen berkenaan.

“Ada satu lagi inisiatif akan saya umumkan pada minggu depan yang bakal memberikan kesenangan kepada golongan muda, khususnya yang belum mendapatkan lesen memandu.

“Inisiatif yang akan diumumkan ini satu dasar baharu yang boleh memudahkan pemohon lesen memandu,” katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di Kuala Lumpur pada Khamis.

Sementara itu, ketika mengulas pelancaran kerangka ekonomi baharu di bawah Kerajaan Perpaduan, Loke berkata pengumuman itu bukan sahaja akan menjadi panduan untuk kepada jentera kerajaan.

Malah bagi kementerian, ia satu komitmen kerajaan untuk memperkukuh dan melaksana beberapa projek penting negara, khususnya pembinaan Transit Aliran Ringan 3(LRT3) dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3), LRT di Pulau Pinang dan projek pengangkutan di Johor.

“Komitmen ini juga merangkumi jaringan bas dari luar bandar ke bandar dan juga dalam bandar di Sabah dan Sarawak. Projek ini akan diberi perhatian dan dilaksanakan.

“Yang penting juga agenda pendigitalan dalam perkhidmatan kita. MOT akan memberi pengkhususan untuk mendigitalisasikan perkhidmatan kita, terutama perkhidmatan JPJ dan memudahcarakan rakyat dalam segala urusan kerajaan,” katanya.

Difahamkan MOT akan bertemu Perdana Menteri bagi membentangkan secara terperinci perancangan ekonomi MADANI bagi kementeriannya pada minggu depan.

Related Articles

Back to top button