Pilihanraya

Anwar serah watikah kepada calon KEADILAN Terengganu dan Kelantan

Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan watikah kepada 11 calon yang akan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu dan Kelantan pada 12 Ogos ini.

Penyerahan watikah itu diadakan di Bilik Menunggu VVIP di Lapangan Terbang Sultan Mahmud malam tadi.

Bagi Terengganu, Anwar menyerahkan watikah itu kepada Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam dan Osman Umar (Sura).

Berlaku pertukaran calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir apabila watikah pencalonan diberi kepada calon baharu, Eka Lisut.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu turut menyerahkan watikah kepada Azan Ismail iaitu calon mewakili Kerajaan Perpaudan bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Bagi Kelantan, Anwar menyerahkan watikah kepada Zamakh Sari Ibrahim yang bakal berentap di DUN Pasir Pekan, Syed Mohd Alidustur Syed Md Zain (Panchor), Ezzat Hanuzi (Chetok), Zinda Khalil Sastro Hassan (Tanjong Mas), Aina Sayuty (Pasir Tumboh), Kamaruddin Mat Zin (Limbongan) dan Mohd Shukri Ishak (Mengkebang).

Dalam pertemuan itu, Anwar turut berpesan kepada semua calon agar berkempen secara harmoni dan sihat selain bergerak seiring dengan jentera parti bagi memastikan penerangan yang berkesan dapat disampaikan kepada rakyat.

Beliau juga menitipkan doa agar semua calon di bawah gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) mampu melakar kejayaan di kedua-dua negeri dalam PRN kali ini.

Related Articles

Back to top button