Pilihanraya

Calon PRN digalakkan jalani ujian saringan kesihatan

Calon-calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) disaran untuk menjalankan saringan kesihatan, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, faktor kesihatan merupakan salah satu kriteria penting supaya mengelakkan Pilihan Raya Kecil (PRN) diadakan pada masa-masa akan datang.

Menurutnya, pada ketika ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mewajibkan setiap calonnya untuk menjalani saringan kesihatan sebelum penamaan calon.

“Saya galakkan (menjalani saringan kesihatan)… itu memang seeloknyalah, kalau tidak sihat atau apa-apa terjadi, kita kena berdepan dengan satu lagi pilihan raya.

“Sebaiknya, kalau kita dapat teruskan, kalau menang dan teruskan berkhidmat sehingga akhir penggal, itu sangat bagus,” katanya kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, di Terengganu, hari ini.

Setakat ini, jelas beliau, tiada sebarang syarat ditetapkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan ke atas calon-calon yang akan bertanding pada pilihan raya.

Ini kerana, cadangan itu memerlukan pindaan dilakukan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Dr Zaliha memberitahu, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai garis panduan PRN bulan depan.

“Kita akan mengadakan perbincangan bersama SPR bagi membincangkan jika terdapat keperluan untuk pelaksanaan SOP baharu atau mengekalkannya,” ujar beliau.

Related Articles

Back to top button