Sukan

Hannah yakin isu LTdL mampu diselesaikan dengan baik

Isu lumba berbasikal, jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 yang dikeluarkan daripada kalendar perlumbaan antarabangsa mampu diselesaikan dalam masa beberapa hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kini sedang berbincang dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk menyelesaikan isu itu.

“Naib Presiden PKBM. Datuk Amarjit Singh berkata pihaknya sedang berbincang dengan UCI mengenai cara untuk cari penyelesaian. Tunggu beberapa hari untuk dapat maklumat daripada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Status mengenai LTdL 2023, yang dijadualkan bermula 23-30 Sept ini, menjadi tanda tanya.

Difahamkan perlumbaan berstatus ProSeries itu tidak lagi berada dalam kalendar perlumbaan badan induk dunia berkenaan kerana masalah hutang penganjur sebelum ini.

Sebelum ini, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Wahab mendakwa penganjur LTdL 2019, 2020 dan 2022 belum menyelesaikan tunggakan hutang lebih RM1 juta, yang tidak membabitkan hadiah kemenangan, berdasarkan laporan UCI.

Related Articles

Back to top button