Nasional

Langkah tambah baik SJKP bantu realisasi impian rakyat miliki rumah

Langkah Kerajaan Persekutuan menambah baik skim pinjaman perumahan seperti umumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu merealisasikan hasrat rakyat memiliki rumah idaman masing-masing.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, skim disediakan melalui Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) itu akan membantu rakyat yang berdepan masalah pembiayaan.

Bukan sekadar itu, jaminan pembiayaan perumahan sehingga 120 peratus daripada harga rumah yang bernilai RM300,000 ke bawah juga sangat memberi manfaat.

“Skim ini akan memberi manfaat kepada peminjam, apabila jaminan dinaikkan kepada 120 peratus, ini membolehkan peminjam yang sebelum ini sukar mendapatkan pinjaman perumahan kini boleh diberikan pinjaman.

“Kita harap penambahbaikan terhadap skim ini akan disambut baik kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan pemberi pinjaman iaitu pihak bank, supaya usaha ini digunakan sebaiknya dan dimanfaatkan seramai mungkin,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Ekspo Hartanah Johor di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu, Onn Hafiz turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan berhubung pengumuman jaminan kerajaan sehingga RM5 bilion di bawah SJKP dalam membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

“Saya difahamkan dalam skim ini, kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan akan menjadi ‘guarantor’ kepada pembeli, terima kasih Perdana Menteri kerana mengutamakan sektor perumahan,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button