Manifesto BN-PH Kedah realistik dan mampu dilaksana
Manifesto Perpaduan Negeri Kedah ditawarkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) negeri itu adalah rasional dan selari dengan aspirasi Madani dicetuskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, di peringkat persekutuan.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata manifesto itu juga komprehensif, realistik, munasabah dan boleh dilaksana sekiranya gabungan berkenaan berjaya memenangi PRN di Kedah pada 12 Ogos ini.
“Perkara dalam manifesto ini menyentuh tentang pembangunan akal fikiran, kemahiran dan aspek pengisian dalaman, semuanya lengkap…inilah sebenarnya kerajaan Madani yang ingin dibawa. Ini baharu politik matang.
“Bila nak ajak rakyat Kedah pilih kerajaan, biar dasar lawan dasar, program lawan program, tawaran lawan tawaran. Kita mulakan politik baharu dan rakyat tidak membuat keputusan hanya berkisar pada politik, sentimen kaum dan agama yang sempit,” kata Ketua Setiausaha PH itu
Saifuddin ketika mengulas tawarkan PN di bawah Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor berkata, tawaran itu bukan sahaja tidak selari dengan aspiras kerajaan Madani, malah sukar dilaksana sekiranya PN terus mentadbir negeri itu.
“Sanusi boleh tawar, tapi kalau tiada duit macam mana nak buat?…kerana itu rakyat Kedah kasi tukar bagi sama (pentadbiran) negeri dengan Persekutuan, baru boleh buat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar, pula menyifatkan manifesto ditawarkan kepada pengundi di Kedah adalah munasabah untuk dilaksanakan.
“Ia harus bermula dengan soal integriti, tata kelola baik untuk memastikan segala pengurusan hasil bumi di Kedah ini akan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh rakyat negeri Kedah.
“Maka ia memerlukan kepada kepimpinan yang jujur, ada keupayaan dan idea untuk ketengahkan perubahan demi masa depan,” katanya.