Pilihanraya

Bahan kempen sebar perasaan jahat, provokasi tidak dibenarkan – SPR

Semua kaedah dan bahan kempen kecuali yang menyebarkan perasaan jahat, tidak puas hati atau menimbulkan provokasi adalah dibenarkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, selain itu lambang, simbol atau bendera parti politik calon yang bertanding termasuklah lambang, simbol atau bendera parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi namun menyokong/bersekutu calon parti politik bertanding, turut dibenarkan untuk dipamerkan secara bersama atau berasingan.

“SPR telah menubuhkan 252 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya untuk memantau semua aktiviti calon-calon yang bertanding ketika berkempen,“ katanya.

Sementara itu jelasnya, tiada had ditetapkan kepada gambar bagi parti politik yang bertanding dan gambar pemimpin parti politik komponen, gabungan atau pakatan pada bahan kempen pilihan raya.

Beliau berkata gambar pemimpin parti politik pada bahan kempen termasuklah gambar pemimpin parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi namun menyokong/bersekutu calon parti politik bertanding, boleh digabung atau diletakkan secara berasingan tertakluk kepada bahagian pilihan raya calon atau parti politik yang bertanding.

“Pemimpin yang dimaksudkan adalah individu-individu yang mempunyai apa-apa jawatan di mana-mana peringkat di dalam parti atau parti gabungan atau komponen,“ katanya.

Abdul Ghani berkata calon-calon boleh mula berkempen selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga pukul 11.59 malam, 11 Ogos (Jumaat).

“SPR berharap agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang ditetapkan,“ katanya.

Related Articles

Back to top button