Sanusi terdesak, tembak ‘peluru kapur’ – Menteri KDN
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menempelak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang cuba menuduhnya sebagai menyalahguna kuasa.
Ia susulan kunjungannya ke Langkawi bersama rombongan yang kemudian menempah sebuah hotel sebagai penginapan.
Menjelaskan situasi sebenar, Saifuddin menegaskan lawatan ke pulau peranginan itu atas urusan rasmi kementerian dan isu salah guna yang cuba dibangkitkan Muhammad Sanusi sebenarnya tidak timbul.
“Saya ke Langkawi untuk diberi taklimat oleh Ketua Polis Daerah Langkawi mengenai persiapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan urusan hari penamaan calon. Saya mendengar taklimat bersama Ketua Polis Kedah.
“Tetapi apabila tempahan dibuat oleh agensi di bawah KDN, beliau anggap sebagai salah guna. Saya bergerak sebagai menteri, diiringi beberapa pegawai keselamatan, kalau saya pilih menginap di sana, sudah tentu mereka (pegawai keselamatan) disediakan bilik,” katanya.
Saifuddin berkata begitu pada sidang akhbar di Pejabat KEADILAN Kedah di Alor Setar pada Ahad.
Muhammad Sanusi yang merupakan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) menuduh Saifuddin menyalah gunakan jabatan kerajaan ketika kempen politik apabila membuat tempahan 15 bilik di sebuah hotel.
Susulan itu beliau menyifatkan tuduhan dilemparkan Muhammad Sanusi itu sebagai tindakan pihak yang ketandusan modal.
“Sanusi anggap ini peluru besar padahal macam peluru kapur atau meriam buluh saja tetapi boleh pula dokumen tempahan itu bocor.
Saya di situ dengan Ketua Polis Negeri dan ini bukan soal Saifuddin kerana saya hanya anggota pentadbiran yang memegang portfolio keselamatan.
“Kalau hotel boleh dengan mudah membocorkan dokumen tempahan, maka itu tak bagus untuk perniagaan mereka,” soalnya.
Difahamkan, hotel yang ditempah untuk penginapan rombongan tersebut adalah milik kerajaan negeri yang menyebabkan data serta maklumat tempahan bocor dan kemudian dimuat naik Sanusi ke Facebook.
“Apa yang berlaku menunjukkan betapa lemahnya tatakelola tidak hanya melibatkan Menteri Besar, malah anak-anak syarikat kerajaan negeri yang memiliki hotel tersebut,” tambah Setiausaha Agung KEADILAN itu.