Amirudin umum tawaran`Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor’
Kerajaan Perpaduan Selangor mengumumkan 53 tawaran program dan usaha yang bakal dilaksana untuk rakyat sekiranya terus diberi kepercayaan mentadbir negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari ketika membuat tawaran itu berkata, kesemuanya adalah ikhtiar dan bukan janji populis yang tidak boleh dilaksanakan.
“InsyaAllah lima tekad, 53 tawaran akan segera kita laksanakan dengan mandat rakyat dan membawa Selangor sebagai sebuah negeri yang stabil dan maju, aman harmoni dan juara di Malaysia serta Asia Tenggara,” katanya pada program pengumuman di Dewan Raja Muda Musa, dekat Shah Alam malam tadi.
Tambah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, kesemua tawaran dikemukakan adalah berdasarkan kajian serta pandangan ramai pihak.
Lima kerangka utama yang ditawarkan Kerajaan Perpaduan Selangor adalah Ekonomi Unggul dan Pendidikan Berkualiti, Pemangkin Peluang Pekerjaan Berpendapatan Tinggi; Agama sebagai Cahaya dan Inspirasi Kehidupan Bermaruah di Selangor; Perkhidmatan Kerajaan Yang Cekap Dan Efisien; Pembangunan Mampan, Selesa, dan Berdaya Huni dan Selangor Negeri Penyayang yang Membela Kepentingan Rakyat.
Kerangka Pertama : Ekonomi Unggul dan Pendidikan Berkualiti, Pemangkin Peluang Pekerjaan Berpendapatan Tinggi adalah peluang pekerjaan bergaji tinggi kepada orang muda Selangor; kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam pembinaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey; mewujudkan jajaran Kita Selangor yang menghubungkan beberapa daerah serta menawarkan peluang latihan industri dengan bayaran RM1,500 sebulan serta baucar pembelian buku RM200 kepada orang muda.
Kerangka kedua : Agama sebagai Cahaya dan Inspirasi Kehidupan Bermaruah di Selangor menawarkan subsidi tambang dan kos mengerjakan haji berjumlah RM2,000 kepada 3,000 Jemaah Muassasah kali pertama; mewujudkan Biasiswa Al-Ghazali bagi pelajar tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama rakyat supaya dapat melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah; meningkatkan Dana Guaman Syariah kepada RM3 juta untuk membantu golongan wanita yang memerlukan dengan dana tambahan.
Kerangka Ketiga: Pembangunan Mampan, Selesa, dan Berdaya Huni Perkhidmatan Kerajaan Yang Cekap Dan Efisien dengan tawaran mewujudkan pentadbiran Greater Lembah Klang yang melibatkan Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Klang sebagai model pentadbiran baharu yang mampan dan berteknologi tinggi serta menghubungkan Pusat Kawalan Kerajaan Negeri dengan setiap PBT agar meningkatkan perkhidmatan dan lebih responsif.
Kerangka Keempat: Menawarkan Kediaman Kita Selangor berjumlah 200,000 unit berharga RM250,000 ke bawah bagi warga Selangor serta pembiayaan kewangan dengan institusi perbankan; mengurangkan kesesakan trafik di Selangor terutamanya di jalan negeri dan mewujudkan 10,000 unit Perumahan Penjawat Awam Kita Selangor khusus buat para penjawat awam Selangor.
Kerangka Kelima: Selangor Negeri Penyayang yang Membela Kepentingan Rakyat dengan mewujudkan Insentif Wanita Kita Selangor dengan jumlah RM1,000 setahun kepada wanita bekerja bagi mengurangkan kos pengasuhan kanak-kanak serta meluaskan Program Saring Selangor dan Program Kesihatan Mental secara percuma melalui aplikasi SeLANGKAH.