Pilihanraya

AMK hairan Pas calonkan semula Ahmad Amzad lepas kemenangan digugurkan kerana rasuah

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan segera dan menyeluruh ke atas calon Parlimen P.036 Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Exco AMK Pusat, Mohd. Afiq Ayob berkata, pihaknya hairan kenapa Ahmad Amzad yang dibuktikan terlibat elemen rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) lalu sehingga kemenangannya digugurkan masih dicalonkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal diadakan.

“Kami pelik kenapa Perikatan Nasional (PN) masih mencalonkan individu sama biarpun pada 27 Jun lalu, mahkamah dapati beliau bersalah gara-gara wujud elemen rasuah.

“Justeru, kami mahu SPRM melakukan siasatan segera bagi menyiasat Ahmad Amzad kerana jelas bukti menunjukkan beliau terbabit kesalahan rasuah pada PRU15 lalu,” katanya.

Beliau sebelumnya hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada Isnin bagi menghantar memorandum bantahan kepada suruhanjaya itu

Sementara itu, Exco AMK Pusat, Bryan Ng Yih Miin berkata, sewajarnya SPRM mengambil tanggungjawab untuk menyiasat segera kes rasuah membabitkan Ahmad Amzad itu.

SPRM juga perlu segera meneliti pencalonan semula Ahmad Amzad sebagai calon di Parlimen itu.

“Keadaan ini sama sekali tidak boleh diterima oleh rakyat dan SPRM serta SPR perlu melakukan sesuatu demi menjaga kepentingan awam,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya pada 27 Jun lalu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad dari parti Pas kerana wujud unsur rasuah.

Mahkamah mendapati, bukti-bukti yang dikemukakan mencukupi untuk mengisytiharkan kerusi bagi Parlimen Kuala Terengganu terbatal dan tidak sah mengikut Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Sabtu lalu, Ahmad Amzad dipilih semula sebagai calon untuk bertanding di Parlimen itu mewakili Perikatan Nasional (PN) manakala, pencabarnya ialah bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dari KEADILAN yang mewakili parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Related Articles

Back to top button