Anwar

Nilai dan semak maklumat di media sosial elak tertipu – PM Anwar

Golongan muda perlu menilai dan menyemak berita disebarkan menerusi media sosial supaya tidak terpukau dan tertipu dengan propaganda disebarkan menerusi medium itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jangan terlalu percaya dnegan cerita satu minit disebarkan di media sosial dengan terus menghukum individu tertentu tanpa usul periksa.

Beliau berkata, media sosial merupakan teknologi baharu yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Sebab itu saya kata, kita kena fikir. Sebab kadang-kadang banyak penipuan. Umpamanya ada tok guru bagi ucapan, orang nampak pakai serban pakai jubah, kita pun kabur.

“Dia bercakap satu minit. Siapa yang sokong parti saya, Allah SWT restui. Siapa tak sokong, ini jadi musuh Allah. Kalau orang yang tak berfikir, dia akan kata tok guru ini yang beritahu. Sebab itu kita kena periksa betul atau tidak.

“Ada satu lagi kenyataan, Anwar selaku Perdana Menteri zalim dan menindas dan menganaktirikan negeri-negeri pembangkang termasuk Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah. Itu kenyataan.

“Dah, anak muda baca ini marah, zalim Anwar ini. Kita semak. Sebab itu kita kata kena semak. Ini cerita satu minit, kita hukum orang. Orang bercakap itu menipu, orang yang mendengar ini tertipu. Sebab itu kita kena semak. Bila semak, rupanya saya dah jawab di Parlimen dalam Belanjawan Negara bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan Madani ini, peruntukan untuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah lebih tinggi, paling tinggi dalam sejarah daripada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berkongsi dan menjawap pelbagai isu pada sesi dialog Temu Anwar bersama anak muda di Dewan Ibnu Khaldun, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kuantan, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh.

Anwar berkata, dengan berita- berita tidak benar di media sosial ada pihak- pihak terus percaya dan marah kepada kerajaan.

“Itu sebab saya kata media sosial ini penting, tapi lagi penting melatih pengguna dan anak-anak supaya memanfaatkan kemudahan diberi. Kita boleh guna untuk meningkatkan ilmu kita, atau kita boleh guna untuk merosakkan dan rendah akal budi kita.

“Media sosial satu keperluan yang sangat penting, kerana kita dapat melihat perkembangan secara terpantas. Tapi kalau kita tidak membaca ia tidak membantu. Percayalah. Tidak ada ilmu yang boleh dikuasai dalam satu dua minit.

“Ini cabaran bagi anak muda. Media sosial penting, kritikal. Tapi gunakan, memanfaatkan untuk menilai, membaca. Tidak hanya terpukau, tertipu dengan satu dua perkataan,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button