Semasa

PM umum peruntukan RM5 juta baiki fasiliti MARA di seluruh Pahang

Kerajaan Perpaduan memperuntukan RM5 juta bagi membaiki semua kerosakan yang terdapat di fasiliti-fasiliti pendidikan di bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di seluruh negeri Pahang.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika program Temu Anwar di di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan pada Selasa.

Menurut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu,peruntukan khas itu perlu kerana adalah tidak wajar negara terus memacu pertumbuhan ekonomi, tanpa menjamin keselesaan pelajar-pelajar menjalani pendidikan.

“Saya sudah luluskan peruntukan khas untuk baiki semua kerosakan yang ada dan ini juga terpakai di mana-mana (fasiliti) bawah MARA, IKM (Institut Kemahiran MARA), Giat MARA dan TVET yang ada bawah MARA di Pahang.

“Di Pahang sahaja untuk kemudahan-kemudahan ini kita belanja RM5 juta,” katanya.

Pada 23 Julai lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 bilion bagi menambah baik bangunan sekolah yang daif di seluruh negara tahun ini.

Sebanyak RM650 juta daripada keseluruhan RM1.4 bilion peruntukan tersebut mula diagihkan kepada sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) bermula pada hujung Julai.

Ia termasuk perbelanjaan membaiki kemudahan tandas supaya memberikan keselesaan kepada pelajar.

Related Articles

Back to top button