Semasa

‘PN sembang kencang’ kata Rafizi lepas pemimpin Pas tolak debat

Tiada mana-mana pemimpin perikatan Nasional (PN) setakat ini bersedia dan berani menyahut cabaran debat ekonomi dilontarkan Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Setakat ini, permintaan Menteri Ekonomi itu agar debat tersebut diadakan ketika tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) supaya pandangan dan idea ekonomi antara pemimpin kerajaan dan pembangkang dapat dinilai rakyat masih menemui jalan buntu.

Rafizi dalam satu perkongsian menerusi ciapan Twitternya memaklumkan Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman yang sebelum ini dilihat lantang berbicara soal ekonomi merupakan individu terbaharu menolak pelawaanya.

“Daripada mantan menteri ekonomi PN (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) hingga ke panglima PN (Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dan ekonomis teknokrat paling cerdik PN (Syahir), semua tidak berani bentang agenda ekonomi mereka,” tulisnya dalam ciapan sambil menyertakan tangkap layar emel bertarikh Isnin daripada Syahir yang menyatakan pendirian untuk menolak undangan debat terbabit.

Terdahulu Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok dalam email tersebut berkata, beliau bersependapat dengan Muhammad Sanusi mengenai keperluan penganjuran debat pada waktu ini dan menolak pelawaan terbabit.

Muhammad Sanusi sebelum ini memberi alasan untuk tidak berdebat kerana langkah tersebut jelasnya tidak menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

Susulan daripada itu, Rafizi pada ciapan sama turut secara sinis memberikan pantun balas kepada Syahir.

“Nak ke bulan konon nak menang, Perancangan rakyat tak keruan sembang kencang,” ujar Rafizi.

Rafizi dalam satu siri ceramah Madani di DUN Sri Tanjung, Negeri Sembilan baru-baru ini melontar cabaran debat itu kepada Mohamed Azmin.

Ia bagi memberi peluang untuk Mohamed Azmin membuktikan rekodnya ketika menjadi Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri lebih baik daripada Kerajaan Perpaduan sekarang.

Azmin bagaimanapun memberi beberapa syarat yang kemudian dianggap Rafizi hanya helah untuk tidak berdebat.

Related Articles

Back to top button