Semasa

Saifuddin bakal dedah lebih banyak isu berkaitan REE di Kedah

Lebih banyak isu membabitkan unsur nadir bumi (REE) di Kedah akan didedahkan dalam masa terdekat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, komitmen itu dimuktamadkan selepas mengambil kira kegagalan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjawab beberapa persoalan berbangkit berhubung isu berkenaan, sekali gus menimbulkan kemusykilan.

“Misalnya saya kata dua personaliti, kebetulan adalah warga China yang masuk ke sini (Malaysia) melalui fasilitasi diberikan menteri besar kepada Menteri Dalam Negeri ketika itu.

“Ada suratnya serta hasil surat berkenaan, kedua-dua orang ini masuk dan rekodnya adalah menjawat jawatan yang majikannya Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah. Dia (Muhammad Sanusi) kena jawab ini dulu,” katanya selepas menghadiri ceramah ‘Pentas Anak Muda N10 Seberang Jaya’malam tadi.

Sementara itu beliau yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan beliau menerusi platform media sosialnya secara sengaja mengungkit kes berkaitan kecurian REE yang sudah disabitkan kesalahan.

“Ia tak betul, yang dah jatuh hukum bukan bagi kes tangkapan baharu. Jatuh hukum macam mana kalau Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Kedah tak siasat? Jatuh hukum apa?

“Insiden yang dijatuhkan hukuman itu adalah insiden 26 September 2022 (membabitkan) penahanan kenderaan bersama 180 guni REE. Ini memang sudah dikenakan kompaun.

“Namun, tangkapan berikutnya dan penahanan terbaru oleh polis serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) tak siasat pun. Justeru, tak selesai lagi, ini baru permulaan. Banyak lagi pendedahan akan saya buat,” tegasnya.

Terdahulu, Safuddin banyak mendedahkan isu-isu berkaitan aktiviti perlombongan mencurigakan di Bukit Enggang dekat Sik, Kedah.

Beliau mendakwa aktiviti ada kaitan dengan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dimana Sanusi adalah Pengerusinya.

Related Articles

Back to top button