Anwar

‘Saya tidak simpati pada orang ingkar kuasa raja-raja’ – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan individu tertentu yang menggunakan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang disunting bagi tujuan politik.

Katanya, beliau tidak akan bersimpati dengan mana-mana pihak yang tidak menghormati institusi diraja.

“Kita ada Perlembagaan (yang) kita patuh, jangan buat pasal…

“Saya tak simpati pada orang yang cuba mengingkari kuasa raja-raja,” katanya ketika berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan, di Kuala Pilah, malam tadi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, mereka yang tidak berpuas hati boleh membidasnya tetapi mereka tidak boleh menyentuh Raja-raja Melayu.

“Kamu boleh maki hamun Perdana Menteri hari-hari, sepuas hati kamu… itu hak kamu.

“Saya tidak ambil tindakan melainkan kalau fitnah itu terlalu berat, sebaik sahaja kamu sentuh raja, memang kamu cari penyakit dan malapetaka,” katanya.

Semalam, Pejabat Sultan Perak membuat laporan polis berhubung satu video ditularkan yang mengaitkan Sultan Nazrin Shah dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan meraih kepentingan politik.

Katanya, perbuatan itu bukan sahaja tidak beretika, malah secara tidak langsung mencemarkan nama baik baginda selaku sultan yang memerintah negeri Perak.

Related Articles

Back to top button