Anwar

Kerajaan sasar naikkan gaji permulaan lepasan TVET – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia perlu bagi melahirkan graduan lebih terlatih, sekali gus menikmati gaji lebih baik.

Anwar berkata, walaupun peratusan lulusan TVET yang mendapat pekerjaan tinggi, namun beliau tidak berpuas hati dengan gaji diterima graduan berkemahiran berkenaan, yang secara umumnya masih di bawah RM2,000 berbanding pekerja TVET luar negara, yang menikmati gaji lebih baik.

“Sasaran harus antara RM2,500 hingga RM3,000 atau lebih baik daripada yang ada sekarang.

“Ini terbukti dan bukan teori. Di Jerman, pengalamannya lebih tertumpu kepada TVET, lulusan TVET upahnya lebih tinggi. Kita puluhan tahun pun gajinya mendatar, naik sedikit,” katanya.

Anwar berkata demikian pada Program Temu Anwar Kuantan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di Kuantan, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Cadangan menambah baik latihan dan kemahiran TVET juga, menurut Anwar pernah disuarakan oleh beberapa pemain industri termasuk Tesla Sdn. Bhd. (TesĀ­la), pada perbincangan yang berlangsung sebelum ini dengan mencadangkan beberapa elemen tambahan kepada pendidikan kemahiran itu.

Anwar berkata, penambahbaikan itu boleh dilakukan menerusi kerjasama antara institusi pendidikan TVET dengan pemain industri di ‘lokasi sebenar’ seperti pengeluar kereta nasional Proton membantu TVET di Pekan yang mendapat jolokan bandar automatif Pahang atau syarikat automatif China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) di Tanjung Malim, Perka.

Menjawab soalan seorang pelajar mengenai peluang pelajar TVET untuk mendapatkan penajaan ke luar negara, Anwar berkata, kerajaan tidak menghalang jika terdapat keperluan untuk penajaan dalam bidang tertentu yang tiada dalam negara.

Pada majlis itu, Anwar turut mengumumkan peruntukan khas sebanyak RM5 juta untuk membaiki infrastruktur institusi berasaskan TVET di Pahang.

Related Articles

Back to top button