Negeri

Semua program politik di Terengganu malam ini ditangguhkan

Semua program kempen, ceramah dan himpunan parti-parti politik di Terengganu yang dijadualkan pada malam ini ditangguhkan serta-merta.

Keputusan itu bagi menzahirkan rasa sedih dan takziah terhadap kemangkatan bonda Sultan Terengganu, Tengku Besar Terengganu, Fatimah @ Sharifah Nong AlSagoff Abdillah, hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata semua calon telah dimaklumkan mengenai keputusan itu sebagai tanda kesedihan rakyat jelata terhadap kemangkatan tersebut.

“Petang tadi baru selesai istiadat pemakaman, jadi kita rasa sesuai untuk batalkan semua acara yang telah dijadualkan.

“Bagaimanapun, semua program ceramah dan kempen akan diteruskan seperti biasa esok (Jumaat) tanpa ada sebarang aktiviti hiburan,” katanya.

Tengku Besar Terengganu mangkat mangkat pada 3.17 pagi tadi di ibu negara dan dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu petang tadi.

Sementara itu, Urusetia Jabatan Penerangan Pas Negeri Terengganu pula memaklumkan pihaknya turut menangguhkan semua kempen dan himpunan malam ini.

“Marilah kita mendoakan agar roh Almarhumah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Related Articles

Back to top button