Pilihanraya

BN beri laluan Amanah pertahan Pulai, Simpang Jeram atas semangat perpaduan

Pimpinan Barisan Nasional (BN) sepakat membuat keputusan bagi memberikan laluan kepada Amanah, parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding dan mempertahan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 9 Sept ini.

Pengerusi Zahid Hamidi berkata pimpinan BN menghormati kerjasama terbentuk dalam Kerajaan Perpaduan dan merasakan Amanah berhak mempertahankan kerusi tersebut, yang kosong susulan kematian timbalan presiden parti itu Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

“Kita amat menghormati kebersamaan AMANAH sebagai rakan kongsi politik dalam Kerajaan Perpaduan. Kita tahu bahawa kerusi Parlimen itu hak AMANAH, iaitu rakan kongsi politik kita dalam Kerajaan MADANI.

“Maka kita harus menghormati mereka (wakil AMANAH) sebagai calon boleh menang. Yang keduanya, kerusi DUN itu juga kepunyaan AMANAH. Atas semangat Kerajaan MADANI, kita akan mendukung calon untuk kedua-dua kerusi berkenaan ditandingi AMANAH.

“Kita akan mendukung kedua-dua calon untuk kerusi itu,” katanya.

PRK berkenaan diadakan susulan kekosongan luar jangka berikutan kematian bekas Timbalan Presiden AMANAH yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akibat pendarahan otak pada 23 Julai lalu.

Pada PRU15, Salahuddin menewaskan calon BN dan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti 33,174 undi di Pulai.

Allahyarham juga menang kerusi DUN Simpang Jeram di Muar selepas memperoleh 8,749 undi menewaskan tiga pencabar dari Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Related Articles

Back to top button