Kerajaan lancar Jelita, program TVET khusus untuk wanita
Kerajaan menyasarkan penyertaan 150,000 peserta dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk wanita menjelang 2026
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, berkata walaupun program dikenali sebagai Jelita (Job Empowerment by Learning and Inclusive Technical Advancement) itu sebelum ini hanya menýasarkan 15,000 peserta, namun setakat kin ia sudah menerima 7,000 permohonan dengan 10 bidang kemahiran ditawarkan.
“Program Jelita adalah platform game-changer yang didedikasikan khas untuk memperkasakan golongan wanita di negara ini melalui pendidikan dan latihan kemahiran.
“Permintaan kepada guna tenaga wanita berkemahiran sangat tinggi, namun mereka tidak dapat latihan mengikut bidang yang menjadi permintaan oleh pihak industri ” katanya pada pelancaran program itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, program Jelita tidak hanya berhenti pada penyampaian latihan tetapi juga bertujuan menyediakan sokongan selepas latihan.
“Program ini juga telah menstrukturkan latihan dalam bentuk kepemimpinan, komunikasi dan penyelesaian masalah yang sangat penting dalam tenaga kerja global hari ini.
“Aspek unik program Jelita adalah komitmen terhadap inklusiviti yang telah mendapat sokongan dan kerjasama padu pelbagai rakan industri,” katanya
Jelita diterajui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dengan menawarkan bidang latihan seperti teknologi maklumat, teknologi kejuruteraan, kecantikan dan fesyen serta pengangkutan dan logistik.
Di bawah Risda, Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) telah berkolaborasi dengan 12 rakan strategik untuk memberikan kemudahan dan latihan serta kemahiran intensif kepada pelajar.
Selain itu, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula menjalin kerjasama dengan 11 rakan strategik dan 58 rakan industri yang menjanjikan 1,000 penempatan kerja untuk bakal graduan.
Pada masa sama, Zahid berkata usaha memperkasa TVET perlu diperhebat dengan menggabungkan semua kolej bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk bersama memberi fokus kepada pembangunan latihan.
Katanya, ia termasuk daripada pihak UCAM yang boleh menerajui usaha penggabungan itu dan seterusnya dapat dijenamakan sebagai Kolej Universiti TVET Malaysia.