Laporan Harakahdaily disanggah, jurugambar sahkan gambar ikonik Anwar tulen
Agensi berita antarabangsa, the Associated Press (AP) menafikan laporan lidah rasmi PAS, Harakahdaily yang mendakwa gambar ikonik memaparkan imej Anwar Ibrahim mengangkat tangan pada 1998 adalah hasil “edit”
Dipetik laporan Malaysiakini, agensi berita itu menegaskan gambar diambil di luar perkarangan mahkamah Petaling Jaya pada 30 September 1998 oleh jurugambar AP, Ed Wray. Ia menunjukkan Anwar yang bermata lebam mengangkat tangannya adalah tulen.
“Kami yakin gambar tersebut adalah betul dan tidak dimanipulasi,” kata Pengurus AP Global News Fisnik Abrashi menerusi emel kepada Malaysiakini.
Harakahdaily dalam laporannya membuat tuduhan gambar itu menggunakan teknik ‘edit’ dengan memetik dakwaan seorang penyokong PN yang hanya ingin dikenali sebagai Hanafiah.
Hanafiah yang merupakan bekas juruvideo media merupakan ketua penerangan Bersatu Tangga Batu.
Dalam video yang dimuat naik Harakahdaily di Twitter, Hanafiah mendakwa gambar itu diambil olehnya dan ketika itu Anwar tidak mengangkat tangannya.
Malaysiakini kemudian dilapor telah menghubungi Wray, jurugambar yang berjaya mengambil gambar ikonik itu untuk mendapatkan responsnya.
Jurugambar tersebut kemudian mengesahkan Anwar memang mengangkat tangan selama kira-kira dua saat, sebelum masuk ke kenderaan polis.
Jurugambar AP Vincent Thian yang mengimbas negatif filem dari kamera Wray turut mengesahkan gambar ikonik itu merupakan antara gambar yang diambil Wray pada hari tersebut.
Thian berkata dia juga dapat mengambil gambar yang sama, namun memutuskan untuk menghantar gambar Wray ke pejabat AP di Bangkok kerana ia diambil dari jarak yang lebih dekat.
Gambar AP itu digunakan oleh banyak media antarabangsa dan menjadi imej ikonik era Reformasi.
Bekas wartawan foto Reuters Zainal Abdul Halim, yang terlepas merakam gambar itu mengakui dia melihat tangan Anwar naik.
“Tetapi dalam kewartawanan foto, jika anda melihat gambar itu maka anda terlepas gambar itu. Pada masa anda melepaskan pengatup (shutter), anda akan terlepas tangkapan itu,” katanya sambil mengakui hanya jurugambar AP yang mendapat mengambil gambar Anwar sengan mukanya, mata hitam dan tangannya terangkat.