Nasional

Ekonomi Madani bakal wujudkan lebih banyak peluang kerja baharu dalam sektor digitalisasi

Kerangka digitalisasi dalam Ekonomi Madani dapat mewujudkan peluang pekerjaan luas kerana ia merangkumi pelbagai sektor termasuk pengaturacaraan, keselamatan siber dan e-dagang.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau menjangkakan sehingga 500,000 peluang pekerjaan baharu dapat diwujudkan dalam tiga sektor tersebut selari dengan perkembangan teknologi digital yang semakin meluas.

“Saya lihat satu daripada sektor yang sekarang ini kecil tapi akan berkembang pesat ialah keselamatan siber, kerana tidak berguna sekiranya kita mempunyai ekonomi digital yang rancak tapi tidak selamat dan keselamatan siber ini sangat memainkan peranan penting pada masa hadapan.

“Selain itu, saya juga lihat sektor e-dagang akan terus memainkan peranan yang penting dan mereka yang terlibat sama ada mereka yang mengusahakan platform-platform ini ataupun terlibat aktif dalam perniagaan secara e-dagang mungkin juga akan mewujudkan peluang pekerjaan yang lain,” katanya.

Beliau sebelumnya menjadi tetamu pada program Naratif Khas-Bersama Menteri Fahmi Fadzil ‘Ekonomi Madani: Kerangka Digitalisasi’ di Radio Televisyen Malaysia (RTM) .

Sementara itu Fahmi turut berkata, di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital terdapat 911 pusat ekonomi digital yang berfungsi dan rata-rata usahawan-usahawan datang mendapatkan perkhidmatan serta belajar cara memasarkan produk mereka.

“Melalui bermacam-macam platform ini kita lihat peningkatan pendapatan kepada dua ke lima kali ganda. Jadi ia bukan hanya pekerjaan yang dapat dihasilkan secara langsung tapi pendapatan kita secara masa nyata boleh dipertingkat sekiranya kita tahu manfaat ekonomi digital dan bagaimana kita boleh terlibat dalam ekonomi digital sekarang,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button