ekonomi

Inisiatif Ekonomi Madani mampu direalisasi berdasarkan peruntukan belanjawan

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin inisiatif yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat mampu direalisasikan oleh Kerajaan Perpaduan

Beliau berkata, kerangka Ekonomi Madani dilaksanakan dengan mengambil kira kemampuan jumlah perbelanjaan mengurus sebanyak RM289.1 bilion yang telah diperuntukkan dalam belanjawan tahun ini.

“Kenapa kita kata duit itu ada, kerana kita mengutip hasil daripada cukai langsung dan cukai tidak langsung yang dijalankan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam, serta perolehan dividen tertentu,” katanya.

Ahmad Maslan berkata begitu menerusi program Ruang Bicara bertajuk ‘Bantuan Kerajaan Madani memanfaatkan rakyat’ terbitan Bernama TV.

Sementara itu tambahnya, pihak kementerian turut digalakkan supaya menggunakan keseluruhan sumber yang telah diperuntukkan dalam melaksanakan inisiatif yang digariskan di bawah kerangka Ekonomi Madani.

“Usaha ini bukan hanya dilakukan oleh sesebuah kementerian, ia dilakukan oleh semua kementerian, maka Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah meminta semua kementerian menggariskan inisiatif yang bakal dilaksanakan.

“Namun jika ada bajet tambahan yang diperlukan, mereka perlu memohon kepada Kementerian Kewangan sebelum kita bentangkan Belanjawan 2024 pada Oktober depan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, sesi libat urus berkaitan Belanjawan 2024 yang berlangsung sejak beberapa minggu lepas telah memberi penekanan terhadap usaha memperkasakan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Pihak kementerian, sektor awam dan swasta serta badan bukan kerajaan dan agensi yang terlibat dengan sesi tersebut juga jelasnya juga telah diterangkan mengenai konsep Ekonomi Madani yang akan dilaksanakan.

“Mereka yang hadir adalah terdiri daripada pihak yang berkaitan dalam merangka Belanjawan 2024 serta telah memahami sedikit sebanyak berhubung konsep yang telah diterangkan,” kata Ahli Parlimen Pontian itu dipetik.

Related Articles

Back to top button