Nasional

Malaysia ada masalah gaji, perlu segera dipulihkan – Rafizi Ramli

Majikan tidak boleh menjadikan kadar gaji minimun RM1,500 sebagai penanda aras untuk membayar upah pekerja lepasan ijazah.

Pada sidang media selepas melancarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2023 di Putrajaya pada Jumaat, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menekankan kadar gaji minimum yang ditetapkan itu adalah untuk pekerja tidak berkemahiran.

“Namun, dapatan awal statistik gaji menunjukkan gaji minimum itu digunakan sebagai gaji rujukan untuk membayar (upah) terutamanya lepasan ijazah dan pekerja berkemahiran yang muda.

“Ini satu fenomena yang memerlukan dasar yang segera untuk kita perbetulkan keadaan itu,” katanya dalam sidang media yang turut disertai Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron itu.

Mengulas laporan itu, Rafizi berkata sebahagian besar rakyat Malaysia dibayar gaji rendah, dengan 82 peratus daripada 6.45 juta pekerja pekerja formal bergaji di bawah RM5,000 sebulan dan 35 peratus daripada jumlah itu dibayar RM2,000 ke bawah pada Mac 2023.

“Dengan penerbitan laporan ini, kita boleh yakin bahawa memang kita ada masalah gaji. Ia bukan cakap-cakap saja, sekarang ia boleh disahkan oleh data lebih enam juta pekerja dan perkara ini akan ditumpukan oleh kerajaan,” katanya.

Terdahulu pada pelancaran laporan itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin median atau penengah upah bulanan bagi pekerja formal warga negara ini pada Mac tahun ini adalah sebanyak RM2,600 sebulan.

Rafizi ketika mengulas laporan itu menegaskan, ia tidak jauh dengan nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM2,589.

“Kita memang ada masalah besar. Inilah yang dikatakan penstrukturan semula, ia bukan setakat mendapatkan pelaburan dan pertumbuhan (tetapi) memastikan apa jua pertumbuhan dan pelaburan yang kita rancang atau jana, ia harus mencerminkan kehidupan harian tenaga kerja kita,” katanya.

Susulan itu jelasnya dasar atau model gaji progresif yang akan dibentangkan kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara Isnin ini, akan menjadi latar belakang yang penting untuk kerajaan menangani masalah berkaitan gaji.

“Saya tahu ia cabaran yang besar juga untuk majikan, kita perlu cari jalan untuk kita selesaikan isu ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button