Negeri

Melaka bakal bangunkan taman safari terbesar di Malaysia

Kerajaan negeri Melaka bakal menambah satu lagi produk pelancongan baharu di negeri itu menerusi pembinaan taman safari terbesar di Malaysia.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata Taman Safari Melaka itu bakal dibangunkan tahun hadapan di kawasan seluas kira-kira 20 hektar di Taman Botanikal..

Beliau berkata, untuk tujuan berkenaan, kerajaan negeri menerusi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta pihak swasta untuk membangunkan pusat pelancongan baharu itu.

“Saya sedang meneliti beberapa kertas cadangan yang dikemukakan beberapa syarikat swasta yang berminat bekerjasama membangunkan taman safari itu sebelum membentangkannya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam tempoh terdekat.

“Kita sudah mempunyai pelan cadangan lokasi Taman Safari Melaka itu dan buat masa ini, kita sedang meneliti modul terbaik untuk kita melaksanakan projek berkenaan,” katanya.

Rais sebelumnya merasmikan Sambutan Hari Harimau Sedunia 2023, di Zoo Melaka, di Air Keroh hari ini.

Difahamkan taman safari itu bakal dibangunkan dengan mengambil contoh taman safari di Bogor, Indonesia serta Bangkok, Thailand berkonsepkan haiwan bebas tanpa mengabaikan aspek keselamatan pengunjung.

Selain di Taman Botanikal, kerajaan negeri turut mencadangkan lokasi Taman Safari Melaka itu di sekitar Zoo Melaka yang masih mempunyai kawasan luas bagi tujuan pembangunan projek pelancongan.

“Bagaimanapun, kajian teliti membabitkan beberapa aspek tetap dijalankan kerana kita mahu memastikan taman safari yang bakal dibuka nanti itu terus bertahan dan menjadi lokasi pilihan pelancong.

“Kita tidak mahu apabila dibuka kelak, ia akan menjadi satu produk yang tidak mampu bertahan lama akibat disebabkan masalah teknikal dan sebagainya, sebaliknya kita mahu ia akan menjadi satu lokasi hebat seperti di Indonesia dan Thailand,” katanya.

Related Articles

Back to top button