Global

Malaysia dan Turkiye akan kerjasama tangani isu Islamofobia antarabangsa

Malaysia dan Turkiye bakal menjalin kerjasama untuk menangani isu Islamofobia di peringkat antarabangsa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, perkara itu telah dibincangkan melalui perbualan telefon bersama Presiden Recep Tayyip Erdogan petang Sabtu.

“Kita bincang mengenai Islamofobia. Erdogan dan saya bersetuju untuk mengepalai usaha ini. Erdogan kata boleh tak kita berdua bangkitkan gerakan dan buat sesuatu untuk lawan serangan terhadap Islam terutama di Amerika Syarikat serta Eropah.

“Saya kata silakan, saya setuju dan saya kata kita akan siapkan kertas (kerja) dan bincang dan dia kata dia berhajat untuk datang ke Malaysia secepat mungkin,” katanya.

Perkara itu didedahkan Anwar ketika berucap pada Himpunan Rakyat bersama Perdana Menteri di Dataran Rakyat Guar Perahu di Seberang Perai malam Sabtu.

Pada ucapannya, Anwar turut menegaskan Islamofobia merupakan sikap permusuhan terhadap Islam terutama di negara barat di mana Islam dibenci sehingga menimbulkan perbuatan seperti tindakan membakar al-Quran di Sweden.

“Pasal pembakaran al-Quran, saya kata saya keluarkan kenyataan sangat keras mengutuk pembakaran al-Quran dan saya terus keluarkan arahan penerbitan sejuta al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia dan dalam bahasa Sweden,” katanya.

Mengulas lanjut usaha pertama untuk menangani isu itu jelasnya, Erdogan telah berkongsi hasrat agar beliau dapat bersama pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu September ini bagi mengadakan perjumpaan dan perbincangan bagi menghadapi isu Islamofobia.

Related Articles

Back to top button