Semasa

Tolak debat, Sanusi tolak peluang jelaskan isu REE

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor telah menerima tawaran untuk dipertemukan dalam satu debat berkaitan isu kecurian bahan nadir bumi (REE).

Personaliti televisyen Amin Idris memaklumkan turut telah mengemukakan tawaran sama kepada Menteri Besar sementara Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, namun tawaran tersebut tidak disambut oleh Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN).

“Pihak Datuk Seri Saifuddin sudah bersetuju. Alhamdulillah. Dan tadi saya telah buat semakan susulan dengan pegawai Datuk Seri Sanusi dan beliau memaklumkan Datuk Seri Sanusi tidak setuju untuk hadir.

“Dan saya mohon semua hormati keputusan beliau,” kata Amin Idris .

Beliau sebelum ini menawarkan diri untuk mempertemukan Saifuddin dan Muhammad Sanusi di pentas debat setelah Muhammad Sanusi diasak bertalu-talu dalam isu kecurian REE di negeri yang ditadbirnya.

Ruang itu dibuka bagi memberi laluan supaya Muhammad Sanusi boleh menjawab dengan jelas berhubung isu berkenaan.

Saifuddin sebelum ini mendakwa Sanusi yang menerajui Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah mengetahui kegiatan mencuri REE yang berlaku di Bukit Enggang, Sik.

Saifuddin mendedahkan gambar Sanusi bersama seorang warga negara China yang dikehendaki pihak berkuasa berhubung kes kecurian sumber nadir bumi di Kedah.

Sebelum ini, Sanusi menafikan mengenali warga China itu tetapi kemudian mengakui pernah bertemu dengannya selepas Saifuddin mendedahkan gambar perjumpaan mereka.

Untuk rekod, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pernah mempelawa Sanusi untuk berdebat menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang melibatkan Kedah serta lima negeri lain pada 12 Ogos ini.

Bagaimanapun Sanusi – yang digelar ‘panglima perang PN’ oleh penyokongnya – menolak cabaran itu dengan alasan debat “tidak akan mengubah kedudukan ekonomi negara.”

Related Articles

Back to top button