Semasa

SPRM cari dua lelaki termasuk menantu Muhyiddin, kata laporan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua lelaki tempatan termasuk menantu kepada bekas Perdana Menteri bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, suruhanjaya itu cuba menghubungi dua lelaki terbabit yang merupakan seorang ahli perniagaan dan peguam, secara terus dan menerusi peguam masing-masing namun kedua-dua mereka enggan tampil memberi kerjasama.

“Individu pertama, Muhammad Adlan Berhan, 48, mempunyai alamat terakhir di Lot 65, Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas, di sini.

“Individu kedua, Mansoor Saat, 69, beralamat terakhir di 5 Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor,” kata suruhanjaya itu.

Muhammad Adlan adalah menantu kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), manakala Mansoor adalah seorang peguam.

Pada 28 Februari lalu, Muhyiddin di Dewan Rakyat mempertahankan menantunya dengan menafikan dakwaan Adlan memperoleh kontrak dalam Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Sementara itu SPRM dalam kenyataan hari ini mendedahkan semakan rekod mendapati kedua-dua individu terbabit sudah meninggalkan Malaysia, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei lalu dan tiada rekod menunjukkan kedua-duanya kembali ke Malaysia.

Justeru orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Nur Muhammad Amin Jamaluddin menerusi telefon 603-8870 0799 atau 016-4322 699 atau emel kepada [email protected].

Related Articles

Back to top button