ekonomi

Tengku Zafrul bidas pihak cuba ‘ambil nama’ dari pelaburan Infineon di Kedah

Tengku Zafrul Aziz membidas tindakan pihak tertentu yang cuba mengambil nama atas pelaburan baharu dibuat Infineon Technologies di Kedah.

Katanya, sebelum pelaburan tambahan tersebut masuk, syarikat berkenaan mengadakan rundingan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan kementeriannya.

Malah ketua pegawai operasi Infineon Technologies AG dari Jerman telah berkunjung ke Malaysia untuk mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi muktamad pelaburan tambahan RM25 bilion.

“Cuma bila ada pihak nak buat seolah-olah kerajaan pusat sekarang tidak bawa pelaburan tambahan baru saya terpaksa jawablah.

“Semua dah tahu Infineon bakal buat pelaburan tambahan RM25 bilion di Malaysia untuk bina fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200mm terbesar di dunia. Pelaburan ini bukan pelaburan diumum tahun lepas. Ini pelaburan tambahan,” kata Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu dalam hantaran video di TikTok .

Beliau sementara itu berkata, persetujuan Infineon menambah pelaburan di Malaysia adalah kesan keyakinan kepada kestabilan politik negara ketika ini.

“…kerajaan ini kukuh majoriti dua pertiga, Insya-Allah akan bertahan sehinga hujung tempoh.

“Suku pertama tahun ini pelaburan diluluskan RM71.4 bilion, naik 60% berbanding suku pertama tahun lepas,” katanya.

Walaupun Tengku Zafrul tidak menyebut “pihak” dimaksudkan, namun ia merujuk kepada Sanusi Nor yang mendakwa Infineon telah memaklumkan lebih awal untuk membuat pelaburan baharu tahun lalu.

Media melaporkan, dalam ucapan sempena Ta’aruf Perpaduan, di Jitra, semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata persetujuan syarikat itu melabur RM25 bilion hasil rundingan dengan kerajaan perpaduan.

Keputusan itu jelasnya dicapai setelah kerajaan Kedah membuat rundingan selama 13 bulan, namun gagal mencapai kata putus.

Related Articles

Back to top button