Nasional

BHS untuk veteran tidak berpencen diperluas mulai September depan

Kerajaan bakal memperluas Bantuan Sara Hidup (BSH) RM300 sebulan kepada veteran tidak berpencen pada usia 60 tahun berkuat kuasa September depan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan.

Jelas Mohd Zuki, langkah tersebut diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PA) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada Isnin.

“Pemanjangan BSH ini akan berkuat kuasa pada bulan September 2023 dan akan memberi faedah kepada seramai 41,970 veteran tidak berpencen dengan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM151.1 juta setahun,” ujarnya.

Sementara itu Mohd Zuki menyifatkan pemanjangan BSH kepada veteran pada usia 60 tahun ini adalah kesinambungan keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam.

“Selain daripada insentif yang berbentuk kewangan, kebajikan veteran ATM juga dititikberatkan oleh kerajaan untuk diberi keutamaan jawatan lantikan kontrak dalam perkhidmatan awam bersesuaian dengan pengalaman dan kemahiran mereka semasa dalam perkhidmatan ATM,” jelas beliau.

Kali terakhir semakan Skim Saraan Perkhidmatan Awam dilaksanakan pada tahun 2001 dan penambahbaikan gaji tidak dibuat sejak tahun 2013.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan langkah semakan semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam.

Related Articles

Back to top button