Semasa

Kemenangan PH-BN pastikan kesejahteraan rakyat, kata bekas Menteri Kewangan II

Pengundi-pengundi di Negeri Selangor digesa beri sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu wajar memandangkan kedua-dua gabungan politik itu mempunyai rekod baik semasa mentadbir kerajaan negeri.

Tambah Johari, kemenangan gabungan PH dan BN dalam pilihan raya negeri (PRN) mampu memberi impak positif secara menyeluruh, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat kekal terpelihara.

“Selangor ini ditadbir BN selama 60 tahun, kemudian kita kalah dan diambil alih oleh PH dan kita tengok mereka (PH) boleh bawa perkara ini. Kita (BN) pula sudah kalah dan sekarang bergandingan bersama mereka.

“PH ada pengalaman mentadbir negeri manakala BN pula ada rekod 60 tahun mentadbir negeri. Jadi, apabila bergabung dan boleh buktikan kepada rakyat, akhirnya rakyat akan mendapat manfaatnya,” kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu dipetik.

Mengulas mengenai manifesto PN yang menawarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor membabitkan nilai lebih RM2 bilion, Johari berkata, pentadbiran sesebuah negeri bergantung kepada kestabilan politik dan pemimpin kompeten.

“Apa pun dijanjikan atau rangsangan yang akan diberi, paling penting dalam mana-mana negara atau negeri yang ingin ditadbir adalah kestabilan politik. Kalau tiada kestabilan politik, tidak boleh.

“Selain itu, mesti ada pemimpin yang kompeten daripada peringkat atas hingga bawah iaitu wakil rakyat. Jika kedua-dua perkara ini tiada, maka akan jadi masalah. Itu sebabnya kalau tengok negara besar di luar, habis sahaja pilihan raya mereka akan habis berpolitik.

“Kita pula habis pilihan raya, bangun esok pagi ada lagi politik, malah 365 hari cerita politik akhirnya rakyat yang akan berdepan masalah,” katanya.

Related Articles

Back to top button