Politik

Terus guna naratif kerajaan bertukar, PN dianggap tiada maruah

Perikatan Nasional (PN) dianggap sebagai tidak bermaruah apabila terus menerus memainkan naratif mahu menukar kerajaan pusat walaupun Yang Dipertuan Agong sudah menitahkan agar kestabilan politik dipertahankan.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata kempen itu bukan sahaja menggambarkan PN tidak menghormati titah itu, malah jelas membuktikan gabungan pembangkang itu miskin idea.

“Tiada polisi dasar yang boleh diketengahkan (PN) pada rakyat untuk menyelesaikan isu dan memajukan negeri sehingga menjadikan agenda tukar kerajaan pusat sebagai propaganda murahan.

“PN tiada maruah sama sekali kerana masih sibuk berbincang soal rampasan kuasa di peringkat persekutuan sedangkan Agong telah bertitah agar kestabilan politik dan pemulihan ekonomi diberikan keutamaan pasca-PRU ke-15 lalu.

“PN ibarat telah membakul sampah bahkan ingkar titah Yang Dipertuang Agong,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kerusi Dewan Rakyat, namun pemimpin pembangkang terus cuba mengelirukan rakyat kononnya ia akan memberi kesan di peringkat persekutuan.

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, ada proses undang-undang yang membolehkan pertukaran kerajaan di peringkat pusat berlaku sekiranya PN menang PRN meskipun terdapat akta antilompat parti.

Ia diikuti kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Selasa kononnya kerajaan persekutuan akan bertukar sekiranya PN menang besar dalam PRN di enam negeri, Sabtu ini.

Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata PN juga telah berbohong kerana baru Disember tahun lalu mereka menyatakan komitmen menjadi pembangkang yang berkesan melalui pendekatan konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia.

“Apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia khianat. Belum setahun, mereka sudah menzahirkan niat jahatnya untuk menukar kerajaan pusat,” katanya.

“Namun inilah yang sedang dilakukan oleh PAS dan PN. Ini ciri-ciri orang munafik

“Saya berharap para pengundi di enam buah negeri dapat melihat wajah sebenar PN. Mereka ini tidak lain tidak bukan hanyalah memburu kuasa semata-mata. Bukan mahu memakmurkan negeri dan membina negara,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button