Mahkamah

Amirudin tuntut Muhammad Sanusi minta maaf, bayar ganti rugi RM10 juta kerana fitnah

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah menghantar surat tuntutan kepada Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Muhammad Sanusi Md Nor.

Surat tuntutan itu susulan dakwaan fitnah dibuat Menteri Besar Kedah itu kepadanya dalam satu ucapannya di Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu.

“Datuk Seri Sanusi telah memfitnah, antara lain, bahawa saya memberikan tanah negeri secara percuma kepada syarikat swasta.

“Dalam surat yang disampaikan tadi, saya menuntut supaya beliau dalam tempoh 48 jam menarik balik dan minta maaf atas kenyataan fitnah beliau,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.

Difahamkan, surat tuntutan itu disampaikan kepada Muhammad Sanusi melalui peguamnya.

Antara lain Amirudin melalui surat tuntutan itu mahu jaminan fitnah itu tidak diulang selain Muhammad Sanusi perlu membayar ganti rugi RM10 juta atas tindakan memfitnah dan mengeluarkan berita palsu yang menjejaskan institusi Dato’ Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri Selangor.

“Namun begitu, jika Datuk Seri Sanusi gagal berbuat demikian, saya terpaksa meneruskan dengan tindakan undang-undang menerusi proses mahkamah,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Sanusi sebelum ini mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah mendakwa Pengasas dan Penasihat Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan telah memperoleh tanah seluas 600 ekar atau 243 hektar secara percuma.

Ia termasuk tuduhan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) bakal mengalami kerugian mencecah RM180 juta jika Vincent diberikan projek sungai bernilai RM10 bilion.

Pada Isnin Vincent Tan dan dan Berjaya Land Berhad (Berjaya Land) melalui satu surat tuntutan menuntut permohonan maaf secara terbuka dari Muhammad Sanusi.

Mereka menuntut semua kenyataan defamasi dalam ucapan Menteri Besar Kedah yang merujuk kepada Vincent Tan dan Berjaya Land ditarik balik tanpa syarat.

Melalui surat tuntutan lima perkara itu, Sanusi turut diminta membayar pampasan RM200 juta akan diheret ke mahkamah sekiranya gagal mematuhi tuntutan terbabit.

Related Articles

Back to top button