Semasa

KDN sedia beri bantuan kepada SPRM dalam isu babitkan menantu Muhyiddin

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama dan bantuan yang diperlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes melibatkan menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihak kementerian sentiasa terbuka dalam memberikan kerjasama dalam melibatkan bantuan kepada mana-mana agensi.

“Berkaitan kes tersebut, apabila seseorang itu atau subjek yang terlibat dalam satu-satu kes dan berada di luar negara, KDN akan diminta untuk memberikan kerjasama.

“Kita melihat dan menunggu dahulu sebarang bentuk kerjasama yang diperlukan oleh pihak SPRM,” katanya dalam satu sidang media di program Seminar Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini pada Rabu.

SPRM akan meminta kerjasama Jabatan Imigresen bagi membekukan pasport Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang merupakan menantu Muhyiddin dan seorang lagi individu kerana diperlukan bagi isu rasuah, penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Muhammad Adlan dalam satu kenyataan melalui peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu bagaimanapun menafikan beliau lari daripada pihak berkuasa.

Terdahulu pada Isnin, SPRM menerusi kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengesan dua lelaki termasuk menantu Muhyiddin bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Related Articles

Back to top button