PM Anwar dedah ada komplot jatuhkan untuk kerajaan guna fitnah agama
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan ada gerakan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dengan menyebar fitnah kononnya pemimpinnya meninggalkan Islam.
Sedangkan kata Perdana Menteri, kerajaan pimpinannya bukan sahaja berusaha keras untuk membanteras penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah , malah tegas memastikan kepentingan Islam, Melayu serta Bumiputera.
“Kerajaan Perpaduan yang saya pimpin tidak izinkan orang curi duit, tidak izinkan hukum orang sewenang-wenang, masih tetap Islam, jaga kepentingan Melayu dan Bumiputera.
“Jadi tidak adil fitnah kita tinggalkan Islam dan agama dan kelompok tertentu saja jaga Islam dan agama,” katanya.
Pendedahan itu dibuat Anwar dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Karnival Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Timur di Kuala Nerus.
Justeru, beliau berharap sokongan rakyat untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan.
“(Jadi) saya minta kawan-kawan seluruh negeri Terengganu beri kerjasama, pastikan orang-orang yang menawarkan diri untuk menjadi wakil kita, wakil saya di Terengganu.
“Yang penting, untuk memudahkan urusan bantuan dan sokongan rakyat,” katanya.
Sebagai rekod, Anwar pada awal Julai lalu menegaskan kerajaan dipimpinnya bukan anti Islam seperti yang didakwa beberapa pihak malah tegasnya, peruntukan untuk agama Islam dibawah pentadbirannya lebih tinggi berbanding kerajaan terdahulu.
“Kita buat keputusan belum berlaku dalam sejarah yang peruntukan untuk Islam lebih tinggi berbanding dahulu.
“Bantuan untuk sekolah agama rakyat yang dahulu dibatalkan, tetapi saya memilih untuk kita bantu semua sekolah agama rakyat. Di mana yang kata kita anti Islam? Adakah kerana saya tak berjubah berserban?,” soalnya pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bulan lalu.