Selepas ini kerajaan tak akan kompromi dengan ‘penunggang agama’
Kerajaan akhirnya mendengar suara rakyat yang mahu kemurnian agama Islam dipelihara dari dipergunakan pihak tertentu bagi tujuan meraih laba politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi menegaskan, tidak akan lagi berkompromi dengan ‘penunggang agama’, selepas 12 Ogos ini.
Jelasnya, perkara itu sudah dibincangkan bersama kedua-dua Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dan langkah itu juga sudah dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor.
“Ini bukan soal politik, saya tidak peduli dia sokong apa, parti mana pun tetapi dia tunggang agama, permainkan hukum… memfitnah orang dan fitnah yang besar.
“Ini orang-orang luar tabii nak hukum…nak kafirkan orang yang tak sokong dia (katakan) masuk neraka…musuh Allah.
“Saya nak bagitahu malam ini, selepas ini, Perdana Menteri ini jika kamu sokong (menangkan pilihan raya negeri) tidak akan bertoleransi dengan perkara mengarut ini,” katanya.
Anwar berkata begitu di Ceramah Grand Finale Arus Merah Kuning di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Keramat pada Khamis malam.
Mengulas rasional tindakan tegas itu, Anwar berkata Malaysia seharusnya menjadi negara yang selamat dan menyantuni semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Ya Islam agama Persekutuan, ya kita tingkatkan kefahaman Islam, kita tingkatkan penguasaan dan matapkan martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan dan bahasa ilmu.
“Kita jamin hak keistimewaan Melayu dan bumiputera, kita mulia dan pertahankan kedaulatan raja-raja Melayu, tetapi jangan kita hina anak-anak Malaysia dari mana-mana kaum.
“Setiap rakyat baik Dayak, Cina, India ..semua itu keluarga kita dan kita kena pertahankan,” katanya.