Sudah sampai masa pentadbiran Kelantan ditukar kepada yang lebih baik
Anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat, menegaskan sudah sampai masa untuk kerajaan kelantan ditukar.
Nik Omar Nik Abdul Aziz dalam ucapan di Himpunan Jentera dan Penyokong Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) Pasir Puteh baru-baru ini berkata, langkah itu wajar memandangkan kerajaan negeri yang dipimpin Pas ketika ini gagal menyediakan kemudahan asas kepada rakyat termasuk menyelesaikan isu air.
Menurut beliau, rakyat Kelantan berhak mendapat kemudahan asas lebih baik dan perkara itu sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri.
Justeru, pengundi digesa membuat keputusan yang bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini dengan memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan mentadbir.
“Saya tegaskan di sini, kita tukar pentadbiran, bukan kita tukar iman. Kita pilih kerajaan berdasarkan yang lebih baik demi masa depan rakyat Kelantan.
“Lebih baik pemerintahan Kelantan selari dengan Kerajaan Persekutuan supaya lebih mudah peruntukan tambahan disalurkan kepada Kelantan,” katanya.
Dalam ucapan sama, Nik Omar turutcmengimbas pentadbiran arwah bapanya yang tidak pernah mengkafirkan sesama Islam hanya kerana perbezaan politik.
“Tidak pernah keluar dari mulut arwah ayah mengkafirkan sesama Islam. Kita terbabit dalam politik dan pilihan raya bukan nak pilih agama, PRN bukan untuk pilih iman dengan kufur, sebaliknya memilih pemimpin atau pasukan mana yang dirasakan lebih baik.
“Perbezaan ini tidak sampai ke tahap mengkafirkan sesama Islam. Jika ada di kalangan kita yang berbuat demikian, mereka akan dilaknat oleh Allah,” katanya.