Semasa

Vincent Tan failkan saman fitnah terhadap Muhammad Sanusi

Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Berjaya Land Berhad dilapor telah mengemukakan saman fitnah terhadap Muhammad Sanusi Md Nor.

Ia susulan kenyataan Menteri Besar Kedah itu mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) dalam ucapannya di ceramah kempen pilihan raya Perikatan Nasional (PN) di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis melalui firma guaman Tetuan Pierre Chuah & Associates dan kes berkenaan ditetapkan bagi pengurusan kes pada 4 September ini.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, Vincent Tan dan Berjaya Land mendakwa ucapan Muhammad Sanusi yang disiarkan secara langsung dan diterbitkan semula antaranya menerusi laman Youtube di bawah nama akaun Astro Awani, laman Facebook di bawah nama akaun TV PAS dan di laman YouTube di bawah nama akaun KiniTV.

Vincent Tan berkata, Muhammad Sanusi membuat kenyataan berbaur fitnah spesifik dan langsung kepadanya dengan menyebut namanya sepanjang ucapan di dalam ceramah itu antara lain membawa maksud beliau dan syarikat terbabit adalah korup dan kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

Berjaya Land pula menjelaskan, walaupun tiada rujukan spesifik dibuat terhadap syarikat itu, kenyataan berkenaan boleh difahami sebagai merujuk kepada syarikat berkenaan.

Kenyataan Muhammad Sanusi itu dianggap mambawa maksud mereka memberikan manfaat secara langsung atau tidak langsung kepada Menteri Besar Selangor dan kerajaan negeri sebagai balasan kepada tanah percuma itu.

Selain itu, kata plaintif, ia juga bermaksud mereka menyebabkan Kerajaan Negeri Selangor mengalami kerugian dan membelanjakan sekurang-kurangnya RM180 juta susulan tanah yang didakwa diberikan secara percuma.

Vincent Tan dan Berjaya Land berkata, kenyataan fitnah itu akan merosakkan dan menyebabkan kerugian kewangan terhadap 67,367 pemegang saham dalam BCorp dan 7,053 pemegang saham dalam Berjaya Land.

“Ia juga mampu merosakkan reputasi kami dalam dunia perniagaan sama ada di dalam atau luar negara serta berpotensi menyebabkan kehilangan keuntungan jutaan ringgit,” kata mereka.

Sementara itu mereka menegaskan Projek SMG membabitkan sebuah syarikat bertujuan khas, iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLBSB) menerusi usaha sama dengan Menteri Besar (Diperbadankan) (MBI).

LLBSB bukan sahaja perlu membayar premium tanah bernilai RM113.1 juta bagi lot tanah itu tetapi juga mencari dana untuk membayar premium kepada Kerajaan Negeri Selangor, tegas plaintif.

Related Articles

Back to top button