SPR umum Amirudin menang di Sungai Tua
Pegawai pengurus pilihan raya, Nor Azlina Abdul Aziz sebentar tadi mengumumkan secara rasmi kemenangan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi kerusi DUN Sungai Tua.
Pada pengumuman di pusat penjumlahan rasmi undi di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak malam ini, Nior Azlina memaklumkan Amirudin memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,185.
Ahli Parlimen Gombak itu mendapat undi sebanyak 19,678 menewaskan pencabar utamanya daripada PN Muhammad Hanif Jamaluddin dengan undi 14,493 manakala calon Bebas, G. Suman hanya mendapat sebanyak 430 undi.
Nor Azlina juga memaklumkan, peratusan pengundian berbanding jumlah pemilih berdaftar adalah 70.92 peratus.
Dalam perkembangan berkaitan, calon Pakatan Harapan, Borhan Aman Shah terus mempertahankan kerusi Tanjong Sepat yang dimenanginya pada penggal lalu dengan meraih majoriti 2,524 undi.
Exco kerajaan Selangor itu memperoleh sebanyak 13,860 undi, mengatasi lawannya, Sabirin Marsono yang mewakili Perikatan Nasional (PN) apabila memperoleh 11,336 undi.