Negeri

Tiga dekad ditabdir Pas, Kelantan hanya sumbang kurang 2 peratus KDNK – Johari

Rakyat digesa menilai sendiri prestasi pentadbiran Pas terutama di Kelantan yang masih masih gagal menjana pertumbuhan ekonomi yang setanding dengan beberapa negeri lain walaupun diberi peluang mentadbir negeri itu selama 33 tahun.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sejak mentadbir Kelantan untuk tiga dekat, Kelantan hanya menyumbang kira-kira sekitar 1.9 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri itu kepada negara.

Faktor utama yang membezakan Kelantan dengan prestasi positif beberapa negeri lain adalah kebolehan pimpinan negeri itu untuk membangunkan Kelantan dengan berkesan.

“Membangunkan negeri memerlukan satu pasukan yang memiliki keupayaan dan kepemimpinan untuk memerintah negeri, dan sebab itu selepas 33 tahun, sumbangan KDNK Kelantan hanya 1.9 peratus berbanding Selangor yang mencatat 25.5 peratus.

“Kita tengok Selangor, asasnya dibina Barisan Nasional (BN) selama 51 tahun, kemudian Pakatan Harapan (PH) mengambil alih sejak 2008 dan menyambung pembangunan yang dibuat oleh BN.

“Ini kerana mereka ada kepimpinan dalam negeri. Sebab itu dapat menyambung pembangunan yang dibawa oleh BN, dan hari ini Selangort antara negeri terbesar dari segi sumbangan kepada KDNK negara, yang dianggarkan hampir 25.5 peratus,” kata bekas Menteri Kewangan II itu dipetik.

Beliau berkata demikian ketika temu bual dalam program Soal Rakyat Khas PRN 2023 yang disiarkan secara langsung di TV3.

Ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak mengatakan tidak adil membandingkan Kelantan dengan Selangor yang terletak hampir dengan ibu negara, Johari yang juga tokoh korporat menegaskan lokasi sesebuah negeri bukan satu-satunya faktor penentu dalam pertumbuhan ekonomi negeri.

Mengambil contoh Sarawak yang berada jauh di timur Malaysia, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan itu menegaskan negeri Bumi Kenyalang itu mencatat pertumbuhan ekonomi memberangsangkan kerana memiliki pemimpin yang berkebolehan.

Pada masa sama, Johari menekankan kepentingan sesebuah pentadbiran negeri sealiran dengan kerajaan persekutuan untuk memastikan pembangunan di peringkat negeri berjalan lancar.

Katanya, ia berikutan kerajaan persekutuan bertanggungjawab merangka dasar untuk memastikan pembangunan negeri berlangsung dengan pesat, selain menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.

“Kalau persekutuan bawa pelaburan dari dalam atau luar negara, kita boleh salurkan kepada negeri yang dapat mewujudkan suasana yang sesuai untuk syarikat pelabur ini membangun kerana faktor infrastruktur yang bagus dan sebagainya,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button