Semasa

Dr Hafidzah mahu mainkan peranan ‘semak dan imbang’ dalam DUN Kelantan

Dr Hafidzah Mustaqim membuat kejutan apabila merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama daripada Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam

Timbalan Ketua Wanita PH Kelantan itu menang dengan majoriti tipis 202 undi selepas memperoleh 9,691 undi menewaskan calon Pas, Datuk Zamri Ismail yang mendapat 9,489 undi, Tan Boon Kian daripada Parti Rakyat Malaysia (126) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary (85 undi).

Ketika ditemui pemberita, Dr Hafidzah menyifatkan kemenangan itu memberikan peluang baginya memainkan peranan sebagai ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan negeri sedia ada.

“Walaupun Kelantan didominasi parti Pas, kemenangan ini akan menjadi pencetus perubahan di negeri ini sekali gus menzahirkan hasrat rakyat khususnya di Kota Lama yang mahukan perubahan,” katanya.

Beliau ditemui di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu pada Sabtu.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Galas di Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim yang mewakili Barisan Nasional kekal mempertahankan kerusi berkenaan buat penggal kedua, melahirkan rasa syukur apabila diberi peluang sekali lagi berkhidmat di kawasan itu.

“Segala amanah ini akan digalas sebaik mungkin dan kita cuba jadikan DUN ini contoh terbaik kepada dua lagi kawasan di bawah Parlimen Gua Musang yang dimenangi PAS,” katanya.

Related Articles

Back to top button