Politik

Khalid sifatkan PN terap trend politik rugikan Melayu dan Islam

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyifatkan trend politik yang dibawa oleh Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sangat merugikan orang Melayu dan Islam.

Pengarah Komunikasi Nasional AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, trend berkenaan menyebabkan rakyat menjadi taasub kepada sesebuah jenama atau parti politik yang bertanding dengan mengundi gabungan PN, iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Beliau yang juga Pengerusi AMANAH Kelantan berkata, trend itu mengakibatkan pengundi tidak menghiraukan prestasi sesebuah kerajaan negeri sama ada terbaik atau sebaliknya.

“Trend politik yang dibawa oleh PN sangat merugikan orang Melayu dan Islam apabila mereka taasub dengan ‘brand’ atau sesebuah parti politik. Pemikiran politik yang dibawa oleh PN dan Pas ini tidak mementingkan pembangunan dan ia akan menyebabkan kerugian kepada rakyat serta negara.

“Ini berikutan, PN hendak memerintah sahaja walaupun (negeri) mundur. Mereka menggunakan sentimen agama dan emosi untuk menarik rakyat,” katanya pada sidang media di Pejabat AMANAH Kelantan, hari ini.

Mengulas lanjut Khalid berkata, walaupun kerajaan Selangor menunjukkan prestasi yang terbaik dengan memberi perkhidmatan terhadap rakyat sebelum ini, namun turut menerima tempias berkenaan.

“Prestasi kerajaan Selangor baik dan kita berkeyakinan akan mendapat sokongan. Misalnya, prestasi Selangor dengan Kelantan dan Kedah perbezaannya bagai langit dengan bumi.

“Kerajaan Selangor perlu dihukum dengan adil walaupun kita menunggu untuk dihukum oleh rakyat. Tetapi pemikiran politik dibawa oleh PN dan Pas menunjukkan benda (prestasi baik) ini tidak penting apabila mereka tidak melihat prestasi pentadbiran. Sepatutnya, negeri yang tidak buat yang terbaik perlu dihukum (oleh rakyat),” katanya.

Pada perkembangan yang sama, Khalid berkata, beliau mendapati masih ramai yang termakan dengan dakyah Kerajaan Perpaduan khususnya PH tidak akan membela nasib orang Melayu dan kerana itu sebahagian penyokong Barisan Nasional (BN) mengundi calon PN.

“Selain itu, ada juga penyokong PH yang tidak selesa dengan kerjasama (PH-BN) dengan tidak keluar mengundi atau undi calon daripada Kerajaan Perpaduan.

“Kita dah berusaha untuk bertemu rakyat. Namun demikian, kita juga mencapai kejayaan di beberapa lokasi dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Related Articles

Back to top button