M’sia terima pelaburan ekonomi digital, RM28.4 bilion – Fahmi Fadzil
Malaysia berjaya mencatatkan pelaburan ekonomi digital sebanyak RM28.4 bilion untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) berkongsikan berita kejayaan itu melalui hantaran di Facebook sambil menjelaskan ia adalah peningkatkan sebanyak 279 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Alhamdulillah, pelaburan dalam sektor ekonomi digital yang dibawa masuk oleh KKD adalah seperti berikut, setengah tahun pertama 2022, RM7.5 bilion, manakala setengah tahun pertama 2023,RM28.4 bilion.
“Ini bermakna, ada kenaikan sebanyak 279 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya di laman Facebook.
Peningkatan itu tambah Fahmi adalah hasil daripada kerajaan yang stabil dan kompeten sekali gus pelabur akan rasa yakin untuk terus melabur.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jika pelaburan meningkat peluang pekerjaan baharu juga dapat dicipta untuk anak-anak muda.
“Insya-Allah we are on the right track (kita berada di landasan yang betul),” tulisnya lagi.